..hidup utk berbakti..

Tuesday, January 5, 2010

Emosi Mengatasi Kewarasan Akal..

AMPANG: Geram isterinya pulang lewat, seorang lelaki tergamak menghayun seterika pada wanita berkenaan ketika di rumah mereka di Lembah Keramat, dekat sini, Sabtu lalu.
Hayunan seterika terbabit hampir hinggap di anggota badan dan kepala wanita berkenaan, namun dia ternyata bernasib baik kerana dapat mengelak objek besi itu yang kemungkinan boleh mendatangkan kecederaan atau sebarang perkara buruk lain.
Selain itu, lelaki berkenaan yang tidak dapat mengawal perasaan turut mengugut mahu membunuh isterinya itu, selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Lelaki berkenaan semakin menggila apabila dia turut mengambil kerusi serta kipas sebelum melayangkan objek berkenaan ke arah mangsa, namun wanita itu sekali lagi bernasib baik selepas dia mengelak. Menurut sumber polis, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa yang bekerja sebagai pengurus jualan pulang ke rumah sebelum dia dimarahi suaminya.
“Ketika itu, mangsa ditegur kerana pulang lewat sebelum berlaku pertengkaran antara mereka membuatkan suaminya semakin berang.
“Mangsa berniat baik dan memberitahu suaminya yang dia terpaksa pulang lewat kerana mempunyai urusan kerja yang banyak, namun alasan terbabit ternyata tidak diterima lelaki berkenaan,” katanya.
Katanya, selepas itu, berlaku pertengkaran antara mereka dan wanita malang terbabit yang sempat mengelak daripada dipukul terpaksa bergelut dengan suaminya sebelum dia melarikan diri.
“Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit kerana khuatir keselamatan diri selepas dia turut menerima ugutan bunuh yang dibuat suaminya.
“Berikutan itu, polis menahan suami mangsa yang berusia 40-an, semalam selepas dia menyerah diri di balai polis,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati motif kejadian berpunca hanya kerana suspek tidak berpuas hati selepas isterinya pulang lewat dari tempat kerja.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar yang membuatkan lelaki itu begitu berang dan sanggup mengugut membunuh isteri sendiri,” katanya. Difahamkan, wanita berusia 30-an bekerja sebagai pengurus jualan di sebuah syarikat itu mendirikan rumah tangga dengan suaminya sejak hampir dua tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat.
“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang dilakukan lelaki berkenaan kepada isterinya,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online

No comments:

Post a Comment

Renungan..

Jika Kejahatan Di Balas Kejahatan, Maka Itu Adalah Dendam.Jika Kebaikan Dibalas Kebaikan Itu Adalah Perkara Biasa.Jika Kebaikan Dibalas Kejahatan, Itu Adalah Zalim.Tapi Jika Kejahatan Dibalas Kebaikan,Itu Adalah Mulia Dan Terpuji."

Ads code


I made this widget at MyFlashFetish.com.