..hidup utk berbakti..

Thursday, May 28, 2009

beruk.....volume 1

JAM lapan minit loceng berbunyi. Murid-murid berbaris di tengah padang mengadap tiang bendera yang sudah condong. Di puncaknya sehelai bendera lasam terbelit kaku. Sudah lama bendera itu tidak berkibar. Lima minit murid-murid berbaris, tanpa seorang pun datang mengawas. Barisan-barisan itu bengkang-bengkok macam ular kena pukul. Begitulah setiap hari. Mereka berbaris kerana disuruh. Untuk apa mereka tak tahu. Dan tiang bendera bersama sehelai kain berjalur merah putih di depan, ertinya haram tidak tahu. Sebentar kemudian barulah keluar seorang guru, Bercekak pinggang. Dia cuma memperhatikan murid-murid itu dengan penuh kejemuan. Tidak ada satu tafsiran pun terhadap masa depan murid-murid itu. Dia cuma makan gaji.
"Dengar sini semua!" dia bersuara, tapi kata-kata itu tenggelam dalam suara bising murid-murid.

"Diam! dengar sini semua." Cikgu Izma meninggikan suaranya. Murid-murid diam. Tapi barisan macam tadi juga. Bengkok.

"Sudah berapa kali saya pesan. Waktu rehat jangan dekat kereta," Cikgu Izma memberi amaran keras. Amaran yang selalu diucapnya.

Murid-murid menoleh ke belakang. Kereta Volkswagen menjadi tumpuan mereka. Kura patah besar, kata setengah murid-murid. Murid-murid yang diam itu sering benar mendengar amaran seperti itu. Amaran-amaran seperti itu melebihi dari nyanyian negaraku. Mereka lebih hormat kepada kereta Cikgu Izma dari bendera dan lagu negara. Pernah setahun dulu, dua tiga orang murid menyepak-yepak bendera buruk, yang gugur sendiri dari tiang. Selesai Cikgu Izma memberi amaran itu, murid-murid dibenarkan masuk ke darjah masing-masing. Dan Cikgu Izma kembali ke bilik guru, langsung berbual-bual dengan guru-guru yang lain. Mereka bercakap-cakap pasal kereta. Pasal tangga gaji dan pasal lelaki.

Lapan setengah masing-masing masuk bertugas. Cikgu Izma masuk darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh bangun. Masing-masing bangun, tapi sama. Malas. Cikgu Izma tidak ambil pusing soal itu. Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Izma membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang. Cikgu Izma sedar. Ia memerhati murid itu dengan pandangan yang tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya. Semakin lama Cikgu Izma memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya.Mengaru-garu betis yang basah dengan air embun.

"Adi! Mari sini!" Cikgu Izma memanggil murid yang datang lambat itu dengan marah. Murid yang bernama Adi itu bangun lambat-lambat. Kemudian menlangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia akan menerima habuan. Dan kawan-kawannya yang lain pun sudah menduga yang Adi akan menerima habuan. Begitu-lah selalunya.

"Berdiri di situ!" perintah Cikgu Izma sambil telunjuknya menunjukkan di tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Adi berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetup-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat. Tapi kali ini dia bercadang dia akan berterus-terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Izma.

"Mari dekat sini, Adi!" perintah Cikgu Izma bila dia selesai menulis soalan. Punggungnya yang lebar itu dihenyak ke kerusi. Murid yang bernama Adi itu mendekati sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya. Cikgu Izma memerhati atas bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak dari darjah empat dulu lagi. Adi tidak berani memanggung kepala bila Cikgu Izma memerhatikannya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluar yang lusuh itu.

"Kenapa awak datang lambat?" akhirnya Cikgu Izma bersuara.

Adi tidak menjawap. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab samada rumahnya jauh atau aral gendala yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.

"Hee beruk! Saya tanya kenapa awak datang lambat?" Cikgu Izma hampir-hampir memekik.

Adi diam juga. Ia masih tunduk juga. Panggilan beruk padanya bukanlah sekali itu saja, dan bukan sekadar Cikgunya seorang. Di sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan beruk, sebab dia membela seekor beruk.

"Pandang sini!" sergah Cikgu Izma sambil mengangkat dagu Adi dengan pembaris panjang. Adi memanggung kepala.

"Saya tanya kenapa awak datang lambat?"

Dengan suara gagap-gagap bercampur takut, Adi menjawap, "Beruk ... beruk ... saya putus rantai, Cikgu!"

"Haaa, kalau dah putus apa yang awak buat," Cikgu Izma bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka dengan murid-murid.

"Saya cari Cikgu."

"Dah jumpa?" Adi angguk. Tersenyum.

"Sebab tu awak datang lambat?" Angguk juga.

"Awak lebih penting beruk dari sekolah ya? Sebab tu awak pun macam beruk," Cikgu Izma berleter. Muka Adi dipandang dengan jijik.

"Saya sayangkan beruk saya Cikgu. Dia kawan baik saya!" kata Adi dengan jujur. Marah Cikgu Izma naik meluap. Jawapan Adi itu sungguh menyakitkan hatinya. Ia mengaru-garu kepala. Tubuh kurus Adi dipandangnya, kelihatan macam seekor semut.

"Awak nak main-mainkan saya ya?" Cikgu Izma menahan marah. Matanya bersinar- sinar.

"Tidak Cikgu, saya ... " "sudahhh!" tiba-tiba Cikgu Izma menempik. Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap di telinga kanan Adi. Adi terhoyong-hayan tapi tidak menangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah. Dengan langkah lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawannya diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian padanya.

"Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!" Cikgu Izma bersyarah pada murid-muridnya yang lain.

Murid-muridnya diam membisu. Sekala mereka berpaling memandang Adi yang malang itu. Tapi Adi, macam tidak ada apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air bertakung.

Tiga hari sesudah itu Adi tidak datang ke sekolah. Dari desas-desus murid-murid yang lain. Cikgu Izma mendapat tahu yang Adi sudah berhenti. Dengan tiba-tiba, hati Cikgu Izma diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Ia terasa macam ada satu dosa yang di-lakukannya terhadap Adi. Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya itu salah di segi undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Bila ditanya cuma beruknya saja menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi bila dia mendapat tahu Adi berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia merasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Adi belajar hingga tamat. Dia menyesal.

Tengahari itu Cikgu Izma tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus ke rumah Adi yang terletak sejauh 4 km itu. Dia tidak memberitahu pada Guru Besar. Biarlah hal itu dia menyelesaikannya sendiri. Untuk sampai ke rumah Adi, Cikgu Izma terpaksa melalui lorong sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri-kanan pokok-pokok "keman malu" dan senduduk. Berlopak-lopak. Tiada ramai orang lalu-lalang. Kampung tempat tinggal Adi sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di hati Cikgu Izma, Bahawa memang patut Adi tidak selalu datang ke sekolah bila memandang jauhnya dan jalan yang sunyi lengang. Kalau dia sendiri pun jadi Adi, dia tentu jadi macam Adi. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidiki lebih dulu.

bersambung......hehehe

sy xingat sy jumpe kisah ini dimana, tetapi sy pernah terbaca pengalaman ini hasil tulisan AZIZI BIN ABDULLAH..MEMOIR SEORANG GURU.. syukran azizi kerana sebahagian kisah2 didalam ini telah memberi pengajaran buat semua..

No comments:

Post a Comment

Renungan..

Jika Kejahatan Di Balas Kejahatan, Maka Itu Adalah Dendam.Jika Kebaikan Dibalas Kebaikan Itu Adalah Perkara Biasa.Jika Kebaikan Dibalas Kejahatan, Itu Adalah Zalim.Tapi Jika Kejahatan Dibalas Kebaikan,Itu Adalah Mulia Dan Terpuji."

Ads code


I made this widget at MyFlashFetish.com.