..hidup utk berbakti..

Monday, March 29, 2010

..HATI KAK NGAH..


Cikgu Zalina yang sedang mengajar terhenti tiba-tiba. Pandangannya terarah ke muka pintu bilik darjah. Semua 31 pasang mata pelajar Tingkatan 3 Bestari juga bertumpu ke arah sana. Kak Ngah yang duduk sedikit tersorok di belakang Fauzan segera memanjangkan lehernya. Ah! Berderau darah Kak Ngah. Kenapa tiba-tiba saja emak datang ke sekolah? Mungkin ada sesuatu yang buruk berlaku.


Kak Ngah masih terpaku di tempat duduknya. Dia memerhati tubuh kecil molek Cikgu Zalina berjalan ke arah emaknya yang masih teragak-agak sama ada hendak masuk atau tidak."Ya, kak. Boleh saya bantu?" soal Cikgu Zalina seraya mengukir sebuah senyuman."Saya emak kepada Emilya," sahut emak sambil matanya liar mencari kelibat Kak Ngah. "Saya nak bawa Emilya balik!""Ada perkara buruk berlaku di rumah?" Soal Cikgu Zalina lembut."Tak ada apa yang berlaku. Cuma mulai esok Emilya tak akan datang ke sekolah lagi. Saya dah berhentikan dia!"Kata-kata itu benar-benar mengejutkan Cikgu Zalina. Apalagi Kak Ngah. Beberapa pasang mata menoleh ke arah Kak Ngah yang tergamam."Tapi kak, PMR dah dekat dan...," Cikgu Zalina cuba bersuara."Saya dah jumpa Pengetua. Dah, jangan banyak soal. Saya nak bawa Emilya balik sekarang juga!"Habis saja berkata-kata, emak terus menuju ke arah Kak Ngah.


Emak segera masukkan buku-buku Kak Ngah ke dalam beg kain. Kemudian emak terus menarik tangan Kak Ngah keluar dari bilik darjah. Kak Ngah tidak sempat berkata apa-apa kepada Cikgu Zalina dan kawan-kawan yang lain.


Emak heret Kak Ngah sepanjang perjalanan ke rumah. Kak Ngah cuba melepaskan tangannya, tetapi pegangan emak tambah kuat, tambah erat."Emak, sakit", rintih Kak Ngah."Sakit? Hati aku lagi sakit tau!" tengking emak sambil menjegilkan matanya kepada Kak Ngah."Apa yang kau cerita dekat cikgu kau, hah? Anak tak tahu untung. Sudah dibela dan diberi makan, pandai pula nak mengadu!"Emak bagaikan dirasuk hantu.


Tubuh kecil Kak Ngah berkali-kali ditolak ke dinding sebaik sahaja Kak Ngah menjejakkan kakinya di rumah. Tidak cukup dengan itu, rambut Kak Ngah yang panjangnya paras pinggang itu pun menjadi mangsa amarah emak."Cakap, apa yang kau beritahu kepada cikgu kau, tu?" Emak menggoncang-goncang tubuh kerdil Kak Ngah. Paha Kak Ngah dicubit-cubit. Pipi Kak Ngah ditampar dan telinga Kak Ngah dipulas kasar."Ampun, mak! Kak Ngah tak salah!" jerit Kak Ngah, cuba menangkis serangan-serangan emak yang semakin menggila."Tak salah kata kau? Ambil ni!" Sekali lagi pipi Kak Ngah menerima habuan tangan emak."Aku tak suka kisah rumah tangga aku dijaja ke sana ke mari, jadi bualan orang. Mulut gatal! Kecil-kecil dah pandai mengadu.""Ampun, mak. Kak Ngah tak adu apa-apa pun. Kak Ngah tak salah," rintih Kak Ngah cuba meraih simpati emak."Menjawab, ya? Hei, kalau diikutkan hati, sudah lama kau mati!"


Kata-kata emak benar-benar mengharukan hati Kak Ngah. Kak Ngah tidak tahu mengapa emak selalu marah-marah. Dan mengapa emak selalu mengeluarkan kata-kata kesat kepada Kak Ngah. Kak Ngah benar-benar tidak mengerti. Kalau emak hendak marah Kak Ngah, marah sajalah.Walaupun Kak Ngah sudah lali dengan kata-kata kesat yang emak hamburkan, sesekali hati Kak Ngah tersentuh juga. Kak Ngah pun manusia. Ada hati dan ada perasaan, ada maruah yang perlu dijaga.Tetapi, Kak Ngah tidak pernah ambil hati dengan perilaku emak. Sebaik sahaja lebam-lebam Kak Ngah sembuh dan rasa kecil hati Kak Ngah reda, Kak Ngah akan memaafkan perbuatan emak.


Kadang-kadang apabila Kak Ngah tidak tahan dengan kerenah emak Kak Ngah rasa mahu saja lari dari rumah. Biar Kak Ngah bawa diri. Tetapi apabila diingatkan Kak Ngah tiada siapa di dunia ini selain emak, Kak Ngah pendamkan hasrat itu. Kak Ngah anak emak, buat apalah Kak Ngah hendak larikan diri dari emak yang bersusah payah melahirkan Kak Ngah ke dunia ini.Kadang-kadang Kak Ngah terasa juga kehilangan Mak Tuk. Ketika itu Mak Tuk masih ada, penderitaan Kak Ngah tidaklah sebegini hebat. Apabila emak marahkan Kak Ngah, Mak Tuklah yang menjadi penyelamatnya. Sejak Mak Tuk kembali ke rahmatullah, tiada tempat lagi bagi Kak Ngah hendak mengadu nasib.Semuanya Kak Ngah hadapi sendiri.


Hinggalah Kak Ngah dewasa gadis, emak tetap seperti dahulu walaupun setelah kehilangan kembarnya, Kak Long. Emak tetap akan melebihkan Kak Lang, Kak Teh, dan Kak Cik dalam segala hal. Apa kurangnya Kak Ngah? Apa lebihnya adik-adik Kak Ngah yang tiga orang itu? Kak Ngah juga anak emak. Kak Ngah juga inginkan perhatian daripada emak. Tidakkah emak tahu betapa setia dan kasihnya Kak Ngah kepada emak? Kak Ngah rela (sebenarnya terpaksa) berhenti sekolah supaya adik-adik dapat meneruskan pengajian mereka.


Kak Ngah bekerja dalam usia yang masih mentah semata-mata ingin membantu emak.Memang pada mulanya Kak Ngah membantah keras kerana Kak Ngah masih mahu belajar lagi. Tetapi apalah daya Kak Ngah. Hitam kata emak, hitamlah Kak Ngah terima. Kak Ngah rela berbuat apa saja kerana emak, asalkan kak Ngah dapat sedikit kasih sayang daripada emak.Namun, Kak Ngah tidak pernah mendapat kesempatan itu. Setiap hari ada saja tingkah Kak Ngah yang tidak berkenan di hati emak. Telinga Kak Ngah sudah sebati dengan seranah dan pulasan tangan emak. Pipi Kak Ngah sudah tebal dengan tamparan emak. Paha Kak Ngah sudah mangli dengan cubitan emak.


Mula-mula Kak Ngah berhenti sekolah dahulu, hampir saban malam Kak Ngah berendam air mata. Kak Ngah amat terasa kehilangan kawan-kawan sedarjah Kak Ngah. Kak Ngah tidak lagi dapat mengikuti pelajaran bahasa Inggeris Cikgu Zalina yang amat Kak Ngah minati.Tetapi Kak Ngah tidak menangis kuat-kuat. Kalau emak dengar, tentu tubuh kecil Kak Ngah jadi mangsa lagi.


Selepas subuh Kak Ngah akan intai, Lina, Siti, Mat yang berjalan melepasi rumah Kak Ngah untuk ke sekolah. Kemudian Kak Ngah akan nampak Adli, Saiful, dan Ilham dengan basikal masing-masing. Kak Ngah teringat waktu-waktu yang Kak Ngah lalui. Kalau Kak Ngah terlambat bersaing dengan Lina, Siti, dan Mat, Ilham akan dengan senang hati membonceng Kak Ngah hingga ke sekolah. Dan selalu begitulah. Ilham begitu baik terhadap Kak Ngah.


Kini Kak Ngah kehilangan kawan yang Kak Ngah sayangi. Sejak berhenti sekolah, Kak Ngah bagaikan terkurung. Kak Ngah tidak dibenarkan keluar bermain seperti biasa. Tempat Kak Ngah hanyalah di rumah. Kak Ngah perlu membasuh. Kak Ngah harus mengemas rumah. Kak Ngah mesti memasak dan mengasuh adik-adik. Semua itu Kak Ngah mesti buat. Adik-adik Kak Ngah pula nakalnya bukan main. Jika Kak Cik terjatuh dari buaian Kak Ngahlah yang kena pukul. Kata emak Kak Ngah tidak jaga Kak Cik betul-betul. Kalau Kak Teh terkena seterika panas Kak Ngahlah yang kena cubit. Kata emak Kak Ngah sengaja letak seterika panas dekat dengan Kak Teh. Kalau Kak Lang merayau-rayau ke rumah orang Kak Ngahlah yang kena tarik rambut. Kata emak Kak Ngah suka kalau Kak Lang hilang diculik orang.Sampai hati emak kata Kak Ngah macam-macam.


Macam mana Kak Ngah hendak jaga adik-adik, kalau pada masa yang sama Kak Ngah kena memasak, mengemas, dan membasuh? Apabila Kak Ngah hendak menjawab emak kata melawan, Kak Ngah anak derhaka, Kak Ngah tidak tahu untung, Kak Ngah tidak kenang budi dan macam-macam. Lebih baik Kak Ngah diam. Kak Ngah tidak mahu mengundang amarah emak.


Biarlah kepahitan ini Kak Ngah tanggung sendiri. Adik-adik pula seronok apabila Kak Ngah kena pukul. Kata Kak Lang dan Kak Cik, Kak Ngah selalu kena cubit paha. Kata Kak Teh, Kak Ngah sengaja masak lambat.Sampai hati mereka mengadu yang bukan-bukan kepada emak. Adik-adik tidak pernah menganggap Kak Ngah sebagai kakak mereka. Kak Ngah hanyalah hamba bagi mereka. Kak Ngah perlu buat semua kerja rumah, sedangkan mereka asyik goyang kaki. Kak Lang lebih suka menghadap cermin bertukar-tukar baju mengalahkan peragawati. Kak Teh yang gemuk-gedempol itu selalu bersungut masakan Kak Ngah tidak sedap. Tetapi kalau tidak cukup empat pinggan jangan panggil Kak Teh. Kak Cik pula asyik bercerita tentang teman lelakinya yang silih berganti.


Kak Ngah tidak peduli semua itu. Kak Ngah lebih suka membaca Al-Quran dan tabah dalam hidup. Orang lain tekun belajar, Kak Ngah sudah bekerja di kilang kicap yang baru dibuka di pekan pada usia yang muda. Sebelah malam Kak Ngah mengambil upah menjahit telekung dengan Mak Cik Tipah. Apa yang Kak Ngah buat, semuanya untuk emak dan adik-adik Kak Ngah.


Atas nasihat Cikgu Zalina, Kak Ngah mula belajar sendiri. Selepas habis kerja kilang, Kak Ngah singgah di rumah Cikgu Zalina untuk belajar. Kak Ngah belajar percuma sahaja, tidak perlu bayar sesen pun. Kata Cikgu Zalina dia mahu bantu Kak Ngah. Di kelas tuisyen itulah Kak Ngah bertemu kembali dengan Ilham. Kak Ngah dapat tahu Ilham berjaya ke sekolah berasrama penuh di Bandar. Betapa beruntungnya Ilham. Tentu dia seronok belajar di sekolah yang baik itu.


Setiap kali cuti, Ilham akan balik ke rumah datuknya yang bersebelahan dengan rumah Cikgu Zalina.Selain Cikgu Zalina, Ilhamlah yang banyak membantu Kak Ngah supaya belajar lagi. Ilham banyak membantu Kak Ngah dengan memberi nota dan soalan-soalan peperiksaan yang lepas. Ilhamlah yang meminjamkan buku-buku rujukannya kepada Kak Ngah. Kak Ngah ambil PMR lewat setahun daripada Ilham. Akhirnya Kak Ngah berjaya. Kak Ngah teruskan perjuangan ke peringkat SPM pula. Kak Ngah amat terhutang budi kepada Ilham. Kak Ngah tidak akan lupa budinya, juga budi Cikgu Zalina.


Ketika Kak Ngah berada di tingkatan enam, Ilham telah pun terbang ke Kota London untuk meneruskan pelajarannya. Sebelum berangkat Ilham berpesan kepada Kak Ngah supaya menanti kepulangannya yang mungkin berada agak lama di sana. Kak Ngah tidak faham apa maksud Ilham, tetapi Kak Ngah anggukkan juga kepala. Yang nyata Kak Ngah akan kehilangan seorang kawan baik. Dua minggu lepas itu, Kak Ngah terima sekeping poskad daripada Ilham, dan beberapa pucuk surat lagi selepas itu. Semuanya beralamatkan rumah Cikgu Zalina. Kalau emak tahu tentunya Kak Ngah kena seranah...


Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Renungan..

Jika Kejahatan Di Balas Kejahatan, Maka Itu Adalah Dendam.Jika Kebaikan Dibalas Kebaikan Itu Adalah Perkara Biasa.Jika Kebaikan Dibalas Kejahatan, Itu Adalah Zalim.Tapi Jika Kejahatan Dibalas Kebaikan,Itu Adalah Mulia Dan Terpuji."

Ads code


I made this widget at MyFlashFetish.com.